Makalah : Inspirasi Mengalir di Sungai Sambas

Inspirasi Mengalir di Sungai Sambas.

(Sumber : http://galerimulawardi.blogspot.com/)

Oleh :

Alfian Mansor

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

  1. Pengenalan

Sungai merupakan anugerah alam yang tidak ternilai harganya. Sejak zaman-berzaman lagi, sungai telah banyak memberi sumbangan terhadap kelangsungan hidup manusia. Secara umumnya, tidak ada sesiapapun yang menafikan peranan dan fungsi sungai sebagai salah satu medium utama dalam kelestarian umat manusia di muka bumi ini. Sungai bukan sahaja memberi sumbangan bekalan air untuk kegunaan asas manusia seperti untuk tujuan minum, mencuci pakaian, mandi dan memasak, bahkan jua sebagai salah satu medium komunikasi dan perhubungan yang penting. Sejarah ketamadunan sesebuah bangsa juga banyak menunjukkan perkaitan yang amat rapat di antara sungai dan kegemilangan sesebuah tamadun. Umpamanya, kegemilangan tamadun Mesir yang didasari oleh peranan Sungai Nil yang juga merupakan sungai yang terpanjang di dunia dengan kepanjangan 6,650 km dan kedalaman sungai tersebut mencecah 1,134 meter atau 3,721 kaki, manakala purata kederasan airnya pula adalah 2,830 m³/s (99,956 kaki³/saat)[1].

Begitu juga halnya di Malaysia, Kerajaan Kedah Tua telah wujud sekitar 110 Masihi yang lampau[2]. Kerajaan ini turut dikenali sebagai Tamadun Sungai Batu. Berdasarkan temuan arkeologi, terdapat penemuan pusat memproses batu bata dan besi serta jeti-jeti purba di Sungai Batu yang terletak tidak jauh dari Lembah Bujang. Di sepanjang tapak arkeologi tersebut turut ditemui dua jeti dan relau peleburan besi purba serta pusat pembuatan batu-bata. Penemuan ini membuktikan kepentingan peranan sungai yang terletak berhampiran dengan pusat Kerajaan Kedah Tua. Hal ini terkait dengan beberapa faktor seperti perkaitan bentuk muka bumi atau geografi, sistem komunikasi dan juga sistem politik dan pentadbiran yang dimiliki oleh sesebuah kerajaan.

Negeri Sambas yang terletak di Kalimantan Barat, Indonesia merupakan sebuah negeri yang mempunyai perkaitan yang sangat erat dengan sungai. Kelestarian masyarakat dan budaya di negeri tersebut banyak dipengaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh sungai Sambas. Oleh itu, masyarakat Sambas amat sinonim dengan sungai. Masyarakat Sambas yang menetap di pesisiran sungai Sambas menjadikan sungai tersebut sebagai sumber utama kelangsung hidup mereka. Mereka mandi, mencuci pakaian dan mendapatkan bekalan air untuk memasak dan minum dari sungai yang berdekatan dengan kediaman mereka. Bahkan mereka juga mendirikan rumah di atas air yang dikenali sebagai “lanting”.

Simbiosis yang terjalin erat antara masyarakat Sambas dan sungai Sambas menjadikan keduanya ibarat aur dengan tebing. Simbiosis tersebut bukan sahaja terbatas dalam ruang lingkup aktiviti seharian sahaja, tetapi juga dalam penghasilan karya-karya dan kesenian. Keindahan alam semula jadi yang terdapat di sambas menjadi inspirasi dalam penghasilan karya seperti ungkapan pantun, lagu, syair, gurindam, sajak, dan sebagainya. Hal ini kerana, nuansa yang terjelma daripada keindahan alam semula jadi merupakan sebuah penzahiran jiwa yang amat memberi kesan kepada sesiapa sahaja. Justeru, kajian ini dijalankan untuk menghuraikan kaitan sungai dalam penghasilan pantun dan juga lirik lagu di daerah Sambas.

1.1       Tujuan Kajian

            Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti peranan yang dimainkan oleh sungai sebagai salah satu sumber inspirasi dalam penghasilan karya seni masyarakat di Sambas. Hal ini kerana wujudnya perkaitan yang cukup erat dalam budaya kehidupan masyarakat Sambas sejak zaman berzaman lagi. Lantaran perkaitan erat tersebut, masyarakat Sambas menginteprestasikan identifikasi sungai dalam karya yang dilahirkan. Contohnya, dalam mengungkapkan pantun dan lagu, terma sungai kerap kali dikaitan dalam ungkapan tersebut.

1.3       Landasan Teori

            Teori yang digunakan dalam kajian ini adalah Teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan oleh Mohamad Mokhtar Abu Hassan seorang sarjana Malaysia yang memiliki kedudukan istimewa dalam dunia teori dan kritikan sastera di negara ini. Berdasarkan teori ini, setiap individu mempunyai konsepsi atau persepsi yang tersendiri terhadap sesuatu idea, perkara, hal dan objek. Persamaan atau perbezaan konsepsi antara seorang individu dengan individu yang lain dipengaruhi oleh unsur-unsur ekstrinsik seperti latar belakang individu, pendidikan, lingkungan masyarakat, kepercayaan, adat, budaya, dan ideologinya.

Seperkara yang menarik tentang Teori konseptual Kata Kunci ini adalah konsepsi seseorang individu terhadap sesuatu idea, perkara atau objek boleh dikenal pasti melalui penelitian kata-kata yang digunakan oleh pengarang. Kata-kata yang diberi penekanan atau fokus inilah yang dinamakan sebagai kata kunci. Teori ini sebenarnya dibina berdasarkan tiga prinsip iaitu kepengaruhan, pemilihan kata dan kesan. Di dalam kes kesusasteraan tradisional khususnya sastera rakyat sesebuah karya atau hasil kesusasteraan itu dimiliki oleh masyarakat secara kolektif. Ini bermakna pengarang di dalam konteks ini merujuk kepada masyarakat tersebut. Di dalam makalah ini pengarang atau pemilik karya tersebut ialah seluruh masyarakat kabupaten sambas. Oleh yang demikian pemikiran atau kepengaruhan yang ditemui ialah milik bersama masyarakat sambas.

Sementara itu, fokus atau tumpuan makalah ini adalah pemilihan kata atau diksi yang berhubung kait dengan sungai. Untuk tujuan kajian ini, pemilihan kata yang sinonim dengan terma sungai akan diberikan tumpuan seperti  kali dan Muara.  Di samping itu, perkara-perkara yang berhubung kait dengan sungai juga akan cuba dikemukakan.  Sebagai contoh, peristiwa atau objek-objek yang identik dan berkaitan dengan sungai. 

1.4       Dapatan Kajian

Dapatan kajian ini dibahagikan kepada dua, iaitu peranan sungai dalam ungkapan pantun Melayu Sambas dan juga peranan sungai dalam lirik dan lagu masyarakat Sambas. Dapatan kajian ini akan dianalisis berdasakan pendekatan teori kata kunci yang diperkenalkan oleh Mohamad Mokhtar Abu Hassan. Analisis pertama akan meneliti perkaitan sungai dengan ungkapan pantun. Manakala  analisis kedua pula akan memberi tumpuan terhadap penulisan lirik lagu yang dihasilkan di negeri Sambas.

1.5       Inspirasi Sungai dalam Ungkapan Pantun Masyarakat Sambas

Pantun merupakan salah satu bentuk prosa tradisional yang paling popular.  Pantun sering diungkapkan di mana-mana sama ada di dalam majlis rasmi, adat peminangan, perkahwinan, percintaan dan lain-lain lagi.  Malah pantun juga boleh hadir dalam lirik-lirik lagu. Keberadaan pantun-pantun ini menunjukkan bahawa pantun mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk menggunakannya. Dalam konteks masyarakat sambas, pantun turut digunakan secara meluas. Seterusnya analisis ini akan menggunakan prinsip-prinsip yang terdapat dalam kerangka teori konseptual kata kunci iaitu kepengaruhan, pemilihan kata, dan  kesan.  Untuk kajian ini, pantun-pantun yang di kemukakan diperolehi daripada beberapa sumber antaranya, Kumpulan Pantun Terbitan Dinas Komunikasi, Budaya, dan Parawisata Kabupaten Sambas (2007), Kumpulan Pantun Sambas, dan Sumber lisan Masyarakat Sambas.

Prinsip pertama, iaitu kepengaruhan dihubungkan dengan pengarang atau pengkarya. Berbagai-bagai faktor yang mempengaruhi konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek atau sebagainya. Antaranya adalah faktor latar belakang pengarang seperti pendidikan, pekerjaan, keluarga, masyarakat, budaya, kepercayaan, ideologi, politik, pertubuhan yang diperjuangkan dan sebagainya. Faktor umur, masa dan peredaran zaman juga sedikit sebanyak memainkan peranan dalam menentukan konsepsi seseorang pengarang itu. Faktor-faktor ini turut menentukan penerusan atau perubahan konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya itu. Justeru, dalam memahami konsepsi seseorang pengarang itu dengan mendalam, seseorang peneliti atau pengkaji yang ingin menerapkan teori ini harus mengenali latar belakang pengarang dan faktor lain-lain yang berkaitan yang mempengaruhi diri pengarang. Contohnya, untuk mengenali konsep kemiskinan yang diutarakan oleh Usman Awang dalam karya-karya cerpennya, seseorang peneliti harus mengenali latar belakang dan latar belakang keluarganya. Begitu juga untuk mengenali konsep perjuangan Keris Mas yang dikemukakan dalam cerpennya, seorang pengkaji harus mengenali latar belakang Keris Mas dan penglibatannya dengan beberapa pertubuhan yang diceburinya. Dengan mengenali latar belakang seseorang pengarang, seseorang peneliti atau pengkaji dapat memahami konsepsi pengarang dengan lebih jelas. 

Dalam konteks masyarakat sambas, selaku pengarang secara kolektif, prinsip kepengaruhan ini jelas ditentukan oleh latar belakang geografi atau persekitaran hidup yang akrab dengan sungai.  Kegiatan ekonomi, komunikasi serta jaringan perjalanan adalah berteraskan penggunaan sungai. Justeru, banyak istilah atau terma yang berkaitan dengan sungai ditemui dalam ungkapan pantun yang dikarang oleh masyarakat Sambas, seperti sungai, kali dan muara. Contoh :

Seruling dibeli ke kota lama,

          Anak ikan berenang di sungai,

Saling pengertian antar[3] sesama ;

                                                Akan ciptakan aman nan permai. (Halaman 12)

Selain itu, konsepsi terhadap sungai bagi masyarakat Sambas sememangnya amat penting. Hal ini kerana sungai merupakan nadi kehidupan bagi masyarakat Sambas.  Oleh itu, konseptual terhadap sungai dikaitkan dengan kehidupan masyarakat seperti nelayan, ikan, air yang deras dan lain-lain.  Perhatikan contoh berikut :

Buluh dibawa perahu nelayan,

          Dari seberang ke sungai lanun,

Sungguh halus kerjamu puan;

          Benang emas bisa ditenun. (Halaman 23)

 contoh seterusnya :

Di tepi kali bunga kiambang,

          Di tengah sungai batu pualam,

Susah sekali mencari kembang ;

          Pandai menenun lagi menyulam. (Halaman 24) 

Selain itu, kepengaruhan juga membolehkan ungkapan lain yang berkaitan dengan sungai seperti anak Ikan, berenang, perahu, sampan dan lain-lain turut dipaparkan. 

Contohnya,

Sampan beradu di sungai hulu,

          Airnya deras perahu mundur,

Simpan rindu di dalam hatimu ;

          Panggil namaku sebelum kau tidur. (Halaman 50) 

Contoh-contoh di atas menunjukkan wujudnya kepengaruhan di dalam pemilihan kata yang digunakan di dalam sesebuah karya. 

Sementara itu, prinsip kedua pula adalah pemilihan kata. Prinsip ini dihubungkan dengan karya sastera. Dalam prinsip ini pengarang atau pengkarya akan menggunakan kata-kata yang berada dalam lingkungan dirinya untuk menyatakan konsepsinya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan sebagainya. Kata-kata bagi sesuatu konsep itu akan sentiasa melingkari minda seseorang pengarang atau pengkarya. Kata-kata bagi sesuatu konsep itu akan dapat ditemui dalam karya-karya yang dihasilkan oleh pengarang atau pengkarya. Sebagai analoginya, seorang kanak-kanak apabila ditanya tentang hari raya maka terlintas dalam mindanya ”duit”, “baju”, “kasut” dan sebagainya. Kata-kata ini merupakan kata kunci yang melingkari konsep hari raya bagi seorang kanak-kanak. Berlainan pula bagi orang dewasa, kata-kata yang melingkari mindanya apabila memperkatakan konsep hari raya adalah “silaturahim”, “bermaaf-maafan” dan “kunjung-mengunjung”.  Sementara itu, bagi masyarakat sambas, mereka dilingkari oleh kehidupan yang berteraskan sungai.  Memandangkan sungai merupakan nadi kehidupan mereka, maka kata-kata yang bersangkutan dengan sungai turut dituangkan di dalam kesenian mereka seperti pantun. 

Antara aspek yang mempengaruhi pantun tersebut adalah kegiatan ekonomi seperti menenun songket, aktiviti membawa penumpang sama ada menggunakan perahu atau sampan, aktiviti harian seperti mencuci baju, menghadiri majlis perkahwinan dan lain-lain.  Perhatikan contoh berikut :

Pergi ke sungai memancing udang,

            Naik perahu perahu nelayan,

Berwarna warni warna selendang ;

            sedang menuju pesta kawinan. (Halaman 76)

Pergi ke sungai mencuci baju,

            Tak sangka melihat burung jeruik,

Ubah perangai dan tingkah laku ;

            Dari buruk menjadi baik. (Halaman 103)

Di dekat kali tepi muara,

            Banyak terluka para dubalang,

Sebagai bukti rakyat setia ;

            Ke medan laga ikut berperang. (Halaman 115)

Berdasarkan contoh-contoh di atas,  ternyata masyarakat sambas mengambil serta mengutip apa sahaja yang berada berhampiran dengan mereka untuk di bawa masuk ke dalam keseniannya. Situasi ini menunjukkan bahawa pemilihan sesuatu diksi turut dipengaruhi oleh faktor persekitarannya.

Prinsip ketiga, iaitu kesan dihubungkan dengan pembaca. Konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan sebagainya dapat diperolehi oleh khalayak pembaca dengan meneliti karya-karya yang dibaca dengan meneliti kata-kata kunci yang digunakan oleh pengarang. Kejayaan menemui konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya itu akan terhasil apabila konsepsi yang dikemukakan oleh khalayak pembaca itu menyamai konsepsi yang dikemukakan oleh pengarang atau pengkarya. Dalam hal ini, untuk mendapatkan konsepsi seseorang pengarang dengan lebih objektif, seseorang peneliti atau pengkaji itu harus memahami hal-hal yang berhubung dengan ekstrinsik pengarang dengan lebih mendalam.

Apabila membicarakan kesan berdasarkan pantun-pantun masyarakat Sambas, prinsip ini melihat karya dari sisi pembaca atau khalayak yang menikmatinya. Dalam konteks ini, apabila kita membaca atau menikmati hasil seni yang dihidangkan kita akan dapat mengungkapkan atau memperakukan bahawa mesej yang hendak disampaikan kepada khalayak. Menerusi pantun-pantun yang dikemukakan kita dapat mengetahui bahawa sistem ekonomi masyarakat sambas banyak bergantung kepada sungai.  Sebagai contoh, pekerjaan sebagai nelayan, membawa penumpang dan lain-lain.  Di samping itu, khalayak juga dapat menilai betapa akrabnya kehidupan mereka dengan sungai berdasarkan kata-kata kunci yang digunakan.  Misalnya;

Kalau sampan terapung di tepi,

          Mungkin sampai nanti di kali,

Kalau tuan ke kampung kami ;

          Kan kami jamu sepenuh hati. (Halaman 178)

Walau bagaimanapun, salah satu aspek yang dipertimbangkan di dalam pemilihan kata kunci atau diksi sesebuah puisi khususnya puisi tradisional ialah aspek bunyi atau rima.  Aspek ini tidak pula dirangkumi oleh teori atau pendekatan konseptual kata kunci.  Faktor ini didorong oleh asas yang sering digunakan oleh teori ini iaitu karya sastera moden. Memang menjadi suatu ciri sastera moden yang tidak mementingkan aspek rima atau bunyi.  Dalam konteks ini, sastera morden seperti sajak, cerpen dan novel lebih mengutamakan keterbukaan atau dengan kata lain bentuk tidak terikat. Berdasarkan penelitian terhadap pantun-pantun yang diperoleh ini dapat dirumuskan bahawa pemilihan diksi atau kata kunci adalah berdasarkan beberapa aspek seperti kepengaruhan, pemilihan kata yang akrab dengan kehidupan serta bunyi. 

1.6       Inspirasi Sungai dalam Lirik Lagu Sambas

            Selain daripada pantun, masyarakat Sambas juga banyak memiliki karya berbentuk lagu. Apabila membincangkan tentang lagu, kita tidak boleh lari daripada membincangkan tentang aspek penulisan lirik. Hal ini kerana, lirik merupakan bait-bait kata yang dialunkan seiring dengan melodi dan rentak muzik. Justeru, penulisan atau penghasilan lirik juga memperlihatkan suatu unsur yang amat rapat dalam penghasilan sesebuah karya berbentul lagu. Penghasilan lirik dalam masyarakat Sambas sememangnya  mempunyai kaitan yang begitu erat dengan sungai. Sebagaimana pantun, lirik lagu juga kerap kali menerima pengaruh sungai dalam penghasilannya. Berdasarkan kajian dan tinjauan yang dilakukan, didapati terdapat banyak lagu yang memaparkan citra yang berkait rapat dengan sungai, contohnya lagu Tikannang di Lanting dan Sungai Sambas Kebanjiran. Kedua-dua lagu ini menunjukkan simbiosis dengan sungai. Perhatikan lirik lagu berikut :

Tajuk Lagu[4] :  Tikannang di Lanting

Ku tikannang dolo’

Waktuku di lanting

Bejejer di tappi sungai

Nambah endahnya pandangan

Di sie di kesah kannangan ge’ dolo’

Masre atiku ingat dangan die

Die nye dudduk dakkat di sampingku

Memang uddah lama’

Tappi maseh ingngat

Tilukkis di dalam ati

Sampai kini ku tikannang.

Berdasarkan tajuk lagu tersebut, didapati pemilihan diksi “lanting” itu sendiri menunjukkan perkaitan yang amat erat dengan sungai. Lanting merupakan sebuah tempat tinggal atau penginapan yang seakan-akan rumah yang didirikan di atas air. Perhatikan gambar dalam jadual satu di sebelah :

Gambar satu : Lanting

Gambar Dua : Lanting


[1] Sumber dipetik dan diubahsuai daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Sungai_Nil. Diakses pada 28 Jun 2010.

 

 

[2]Sumber dipetik dan diubahsuai daripada http://eddydystalk.blogspot.com/search/label/TAMADUN%20MELAYU.

  Diakses pada 2 Julai 2010.

 

 

[3] Perkataan “antar” bermaksud “antara” dalam Bahasa Melayu Standard.

 

 

[4] Lagu ini merupakan karya Bulyan Musthafa (1960). Dipetik daripada Koleksi Lagu Pop Daerah Sambas Kabupaten Sambas Bertajuk “Kaing Lunggi 2”. Tulisan Bulyan Musthafa (Dekade Kunjungan Indonesia, 1991-2000). Diterbitkan oleh Gedung WTC Surabaya, Dinas Komunikasi, Budaya, dan Parawisata, Kabupaten Sambas (2007).

_____________________________________________________________________

Kajian ini telah dijalankan semasa mengikuti program Delegasi Sarjana, Mahasiswa Sarjana Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya ke Pontianak, Indonesia.

::Faith&Flame::

 

 

Entri-Entri Menarik:

Facebook Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>